Tuesday, July 15, 2008

Kepentingan Syura

ﻢﻴﺤﺭﻟﺍﻦﻣﺣﺭﻟﺍﷲﺍﻡﺴﺑ
PEMBINAAN JAMAAH
Syura dan Kepentingannya

Abstrak
Syura merupakan tuntutan yang difardhukan kepada umat Islam. Signifikasi syura dalam menyelesaikan masalah adalah begitu penting dalam sesebuah pertubuhan, parti mahupun pentadbiran kerajaan. Syura juga dianggap sebagai salah satu daripada cabang fiqh yang menjadi kaedah tertinggi dalam melaksanakan kewajipan agama yang diperintahkan oleh Allah SWT. Justeru, perintah untuk melaksanakan syura sebagaimana yang diwahyukan kepada baginda SAW merupakan suatu penghormatan kepada akal fikiran kerana berpandukan wahyu Allah SWT.

Konsep Syura dalam Islam
Syura adalah sebuah konsep perbincangan bagi menyelesaikan masalah dalam pentadbiran umat Islam. Pentingnya syura dilaksanakan adalah untuk mengelakkan perbalahan pendapat, pandangan mahupun emosi dalam rangka untuk menyatukan persefahaman dan permuafakatan di antara semua pihak dalam pelbagai perkara yang tidak mempunyai nas secara qat’ie yang melibatkan umat Islam.

Firman Allah SWT,
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantah nanti kamu menjadi lemah (kalah) serta hilang kekuatanmu dan hendaklah kamu berhati sabar. Sesungguhnya, Allah bersama-sama orang yang bersabar.” (Al-Anfal:46)

Keadilan dalam Islam adalah keadilan yang bersifat tetap (ﺜﺄﺒﺘﺔ ) yang melibatkan keseluruhan masyarakat dalam meraikan maslahat serta meletakkan dasar persamaan dalam menentukan hak dan kewajipan serta kebebasan untuk beriktikad dan melaksanakan amal ibadat.

Dari segi pentadbiran negara, syura dikaitkan dengan khalifah. Ianya disifatkan sebagai suatu bentuk dhoman (jaminan) terhadap dua dasar utama pentadbiran yang dibawa oleh mana-mana kerajaan Islam yang memerintah. Dasar utama ini adalah untuk melaksanakan hukum-hakam Islam dan menjaga maslahat ummah. Dua dasar inilah yang dijamin melalui perlaksanaan sistem syura yang juga merupakan sebuah badan muhasabah terhadap pemerintah.

Dalam sesebuah tanzim jamaie yang bergerak atas dasar Islam, juga memerlukan majlis syura bagi menjalankan musyawwarah, membincangkan polisi dan strategi tanzim.

Pengertian dan Dalil
Syura bermaksud suatu bentuk kerjasama dalam bertukar fikiran dan pandangan terhadap perkara-perkara yang melibatkan kemaslahatan Muslimin berdasarkan kaedah yang sesuai dalam mencari titik permuafakatan dan kebenaran serta ketaatan kepada Allah SWT.

Perbincangan syura adalah berkisar mengenai perkara-perkra mubah yang berkaitan dengan hal-ehwal muslimin, yang mana berlakunya perbahasan serta perbincangan dari pelbagai pandangan yang diwakili pelbagai pihak.

Firman Allah SWT:
“Maka disebabkan rahmat daripada Allah lah kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati keras, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Maka, maafkan dan pohonlah keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Maka, apabila kamu telah bertekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya allah menyukai orang-orang ynag bertawakal kepadaNya.” (Al-Imran: 159)

Berdasarkan Firman Allah SWT daripada ayat di atas, ulama’ memberikan beberapa tafsiran mengenai takrifan syura:
Al-Nasafi : Syura adalah suatu bentuk perbincangan yang membawa kepada kebenaran dan ketepatan dalam menyelesaikan masalah.

Hassan Basri: Inilah akhlak mulia baginda SAW dan malah caraku dan begitulah kepada seluruh kepimpinan umat Islam.

Syed Qutb : Ayat ﻭﺸﺄﻭﺭﻫﻢ ﻓﻰﺃﻻﻣﺭ adalah menunjukkan kaedah khas yang diletakkan oleh Islam dalam sistem pemerintahan. Adapun bentuk syura mahupun perlaksanaannya adalah bergantung kepada keadaan umat, zaman mahupun perubahan masa. Namun, apa yang pentingnya ialah perlaksanaan kepada sistem syura tersebut kerana ia merupakan salah satu juzuk daripada pemerintahan Islam yang dituntut syarak.

Firman Allah SWT:
“Dan bagi Allah orang-orang yang mematuhi seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka diputuskan dengan musyawarah antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki mereka yang kami berikan kepada mereka. “ (Asy-Syura: 38)

Ayat yang diturunkan di Makkah ini, menggambarkan kedudukan orang-orang Islam yang sedang bermusyawarah dalam menyelesaikan masalah di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Ayat tersebut meletakkan tahap orang yang bermusyawarah bersama-sama dengan orang yang mematuhi perintah solat dan zakat. Jelaslah, ini menunjukkan nilai syura dan musyawarah adalah tinggi di sisi Allah SWT.

Di samping itu, rentetan sirah baginda SAW yang menjadi sunnah juga meperlihatkan pengamalan musyawarah yang meluas. Ini diikuti pula dengan perlaksanaan sistem syura berteraskan musyawarah dalam sirah Khulafa’ al- Rasyidin. Sistem syura juga dijadikan badan muraqabah (pengawasan) dalam mengawasi perjalanan pentadbiran supaya tidak berlakunya kecacatan atau ketidakseimbangan.

Ruang Linkup Musyawarah
Syara’ tidak menetapkan bidang-bidang atau urusan-urusan khusus untuk dimusyawarahkan. Perintah musyawarah di dalam Al-Quran digambarkan secara umum meskipun ianya menyentuh pelbagai hal dan keadaan yang berkait dengan semua aspek kehidupan masyarakat Islam. Namun, keluasan perlaksanaan syura dibataskan dengan dua perkara:
I. Tidak boleh melakukan musyawarah/mesyuarat untuk mencari suatu keputusan yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan As-Suunah.
II. Keputusan daripada musyawarah/mesyuarat tidak boleh bertentangan dengan perintah Al-Quran dan As-Sunnah.

Kepentingan Wehdatul Fikr dan Wehdatul Amal dalam Gerakan Islam
Perlaksanaan syura berteraskan musyawarah akan mewujudkan wehdatul fikr dan wehdatul amal. Wehdatul fikr bermaksud kesatuan fikrah, manakala, wehdatul amal bermakna kesatuan tindakan. Apabila seorang daie menggabungkan diri dan memberikan wala’ kepada sesebuah tanzim jamaie, beliau harus mempunyai kefahaman dan kesedaran yang tinggi akan apa yang tanzim itu perjuangkan dan bukan sekadar taqlid buta.

Firman Allah Azzawajal:
“Dan sesungguhnya, kamu mengikut apa yang kamu tidak mmepunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (Al-Isra’: 36)

Untuk memastikan kejayaan sesebuah tanzim jamaie, setiap ahli mestilah jelas dari segi fikrah. Apabila itu sudah dicapai, maka lahirlah ahli-ahli yang mampu bersatu di dalam tindakan mereka. Di sinilah syura memainkan peranannya. Sesebuah syura bertanggungjawab menentukan polisi tanzim agar dasarnya berada di dalam batas-batas syara’ dan tidak bercampur aduk dengan dasar buatan manusia. Syura diwakili alim ulama’ akan memastikan tanzim sentiasa memegang amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:
“Hendaklah kamu memuliakan para ulama kerana sebenarnya mereka itu adalah pewaris para Nabi. Maka barangsiapa yang memuliakan mereka, dia telah memuliakan Allah.”

Fikrah yang tidak jelas atau berbeza di kalangan ahli sesebuah gerakan Islam boleh membawa kepada perpecahan tanzim. Ini mungkin berlaku apabila majlis syura yang tertinggi tidak ditaati malah, berlaku penguasaan individu tertentu yang berkepentingan. Sekaligus, menyebabkan keputusan tanzim bercanggah dengan majoriti tanpa alasan yang munasabah.

Dalam usaha sesebuah tanzim jamaie untuk menegakkan Daulah Islamiyah di muka bumi ini, kesatuan tindakan adalah di antara elemen terpenting. Wujudnya pelbagai jamaah yang mengakui mempunyai cara tersendiri boleh membantutkan usaha ini. Ketaatan kepada syura yang satu boleh memastikan segala tindak tanduk dan segala gerak kerja jamaah sentiasa terbatas dalam hukum-hukum syara’ dan tidak bertentangan dengan fikrah yang dipegang oleh ahli.


Bersatu Menegakkan Islam

Bibliografi
Fakhruddin Ghazali. Kajian Fiqh Syura Menurut Perspektif Syarak. In: Monograf Andalus II Tanta. p81-144.

Syura dan Kepentingannya. Modul Irsyad. Dublin: Al-Hizbul Muslimin UK&RI (Dublin); 2001. p518-523.

Hj. Abdul Hadi Awang. Islam: Fikrah, Harakah dan Dakwah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar; 2003.

Fathi Yakan. Tasawwur Asasi Gerakan Islam. Selangor: Dewan Pustaka Fajar; 2004.

1 comment:

Sehat itu Mahal said...

asslmkm...maaf,hanya ingin mengoreksi sedikit...

itu nama suratnya ALI IMRAAN(keluarga imraan)

bukan AL-IMRAAN..

trma kasih...mhn maaf ko trsinggung..