Ciri-ciri ahli syura:
Ahli syura merupakan individu yang paling penting dalam sesuatu organisasi mahupun negara selepas pemimpin itu sendiri kerana merekalah yang membuat keputusan dan menentukan hala tuju organisasi tersebut. Secara ringkasnya, seseorang yang hendak dilantik menjadi ahli syura hendaklah merupakan seorang yang1:
i. mengetahui masalah-masalah pokok (Al-Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukum atau/dan
ii. dapat merujuk masalah-masalah itu kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan
iii. hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil
Maka, dapatlah dilihat bahawa sebaik-baik ahli majlis syura adalah mereka yang terdiri daripada kalangan ahli ulamak. Namun demikian, ketiadaan mereka yang mempunyai ciri-ciri di atas tidaklah bermakna amalan syura harus ditinggalkan. Dalam konteks ini, ahli syura hendaklah dipilih di kalangan orang yang paling afdhal dan layak ketika itu serta mempunyai ciri-ciri mukmin yang lain seperti2:
i. Amanah
ii. Luas pengetahuan dan panjang akal dalam memikirkan sesuatu permasalahan
iii. Berpandangan jauh
iv. Tawadhu’ dengan pandangan sendiri dan tidak memandang rendah cadangan orang lain
v. Tidak bersifat pemarah, suka berbalah dan tergopoh-gapah dalam tindakan
vi. Sentiasa mengutamakan kemaslahatan ramai daripada diri sendiri
Selain daripada ciri-ciri di atas, terdapat juga ciri-ciri lain yang lebih bersifat khusus yang perlu dipunyai dan diamalkan oleh setiap ahli syura terutamanya semasa berlangsungnya musyawarah. Antara ciri-ciri tersebut adalah3:
i. Ahli syura mestilah meletakkan suatu neraca timbangan di antara bai’ah yang diberikan kepada pemimpin tertinggi dalam konsep as-sami’ wa tho’ah dan juga konsep memberi nasihat dan pandangan dalam permesyuaratan.
ii. Mengamalkan konsep al-tasamuh (bertolak ansur)
iii. Meletakkan pandangannya di antara antara kebenaran dan kebatilan dan bersedia untuk diperbetulkan. Ini kerana kaedah dalam Islam adalah untuk mencari kebenaran sama ada Muslim itu memberi nasihat dan pandangan ataupun meminta nasihat dan pandangan.
Kepatuhan Kepada Keputusan Syura
Para ulamak telah berselisih pendapat dalam menentukan kepatuhan dan perlaksanaan terhadap keputusan yang dibuat oleh syura. Persoalan perlu atau tidak mengikut keputusan yang dibuat oleh syura timbul apabila tidak wujud permuafakatan antara keputusan yang dibuat oleh majoriti ahli syura dengan keputusan oleh pemimpin atau pemerintah.
Pendapat pertama menyatakan bahawa adalah menjadi hak pemerintah untuk menentukan pilihannya dalam sesuatu musyawarah walaupun keputusan itu berbeza dengan keputusan majoriti ahli syura. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa pemerintah wajib mengikut keputusan syura walaupun pandangan pemerintah yang diyakini akan kebenarannya menyanggahi keputusan majoriti ahli syura. Pandangan yang kedua dinggap rajih oleh Dr. Abd Kadir Abu Faris berdasarkan ijtihadnya yang berpandukan nasus Al-Quran dan sunnah Baginda SAW serta pelaksanaan Khulafa’ al Rasyidin.4
Firman Allah SWT:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنْفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى الاٌّمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
(Surah Ali Imran:159)
Maksudnya: “Maka disebabkan rahmat Allahlah kamu (wahai Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekira kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka manjauhkan diri dari sekelilingmu. Demikian itu, maafkanlah dan pohonlah keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan tersebut. Maka apabila kamu telah bertekad dalam sesuatu perkara maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”
Frasa “bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan tersebut” dalam ayat di atas telah ditafsirkan oleh para ulamak sebagai kewajipan dalam melaksanakan syura. Keputusan seterusnya dipilih daripada pendapat yang mewakili kebanyakan suara ahli syura sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Ayat “maka apabila kamu telah bertekad dalam sesuatu perkara maka bertawakkallah kepada Allah” pula menjelaskan tentang al-`azam iaitu azam terhadap pendapat yang terbanyak seterusnya meletakkan tawakkal hanya kepada Allah SWT.5
Kata Ustaz Muhammad Rashid Redha dalam Tafsir Al-Manar6:
“Ayat `maka apabila kamu telah bertekad dalam sesuatu perkara maka bertawakkallah kepada Allah’ iaitu apabila kamu telah berazam ke atas sesuatu perkara selepas melakukan musyawarah untuk melaksanakan apa yang diambil oleh musyawarah tersebut, maka bertawakkallah kepada Allah SWT. Janganlah kamu hanya berserah kepada keadaan sekelilingmu sahaja. Hendaklah kamu ketahui bahawa di sebalik apa yang kamu putuskan itu adalah merupakan sesuatu kekuatan yang sempurna dan wajib kamu yakini padanya.”
Beliau menjelaskan lagi “Sesungguhnya pandangan jumhur ahli syura adalah terlebih dekat kepada pandangan mana-mana individu. Logiknya menyerahkan urusan ummah kepada sesorang individu sahaja tanpa menilai kepada pandangan ahli syura yang lain adalah merupakan suatu perkara yang amat buruk dengan tidak meraikan suara umum.”
Jelasnya apa yang diambil daripada peristiwa Uhud adalah mengikut suara majoriti syura walaupun apa yang diputuskan oleh Bagina SAW adalah lebih tepat daripada pandangan jumhur sahabat.
Dalam sebuah hadith daripada Saidina Ali bin Abi Talib, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Kalaulah aku boleh melantik seseorang daripada kalangan kamu tanpa adanya musyawarah, nescaya aku akan menyuruh ke atas sekalian kamu Abdullah bin Mas’ud.” (Sunan al-Tirmizi, Bab Manaqib Abdullah b Mas’ud jilid 5 ms 673)
Maka, berdasarkan dalil-dalil yang telah dikemukakan serta dalil-dalil lain yang tidak dinyatakan di sini sebahagian ulamak telah merumuskan bahawa adalah wajib bagi pemimpin untuk mengikut keputusan yang dibuat oleh syura walaupun berbeza dengan pendapatnya. Antara ulama’ yang menyokong pandangan ini termasuklah Ustaz Al Maududi dan Ustaz Muhammad Rasyid Redha.
Seterusnya, setiap Muslim hendaklah memberikan wala’, ketaatan dan kesetiaan yang sepenuhnya kepada pimpinan yang mengamalkan prinsip Islam dan haram sama sekali menderhaka atau enggan menurut perintah.7 Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَـأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِى الاٌّمْرِ مِنْكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ ذلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
(Surah An-Nisa’:59)
Maksudnya:“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Al-Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. ”
Syura Pada Zaman Rasulullah SAW: Perang Khandaq
Terdapat banyak ketika yang menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menjalankan syura di dalam urusannya di sepanjang sirah hidupnya. Di antaranya ialah ketika peperangan Khandaq yang berlaku apabila sebilangan pemimpin Yahudi Bani Al-Nadhir menghasut bangsa Quraisy, Qabilah Ghafatan, Bani Fuzarah dan Bani Murrah untuk memerangi Rasulullah SAW dan pihak Muslimin keseluruhannya.
Peristiwa pertama berlaku ketika pihak Muslimin mendapat tahu akan pakatan yang dibuat oleh kaum Yahudi, Quraisy dan beberapa qabilah daripada bangsa Arab. Sebaik sahaja Rasulullah SAW menerima berita pakatan tersebut, Baginda SAW terus menyampaikan berita ini kepada kaum Muslimin yang ketika itu berada di Madinah dan bermesyuarat dengan mereka bagi membincangkan masalah ini. Maka, salah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW, iatu Salman Al-Farisi pun mencadangkan agar digali kubu di sekitar luar kota Madinah.
“Di Parsi, apabila kami takut akan penceroboh, kami akan menggali parit di sekitar kami untuk membiarkan mereka terperangkap di teluk.”8
Rasulullah SAW telah bersetuju dengan cadangan ini dan sebuah parit telah digali di bahagian yang terdedah kepada serangan musuh di luar kota Madinah.
Satu lagi peristiwa yang berlaku di dalam tempoh peperangan yang sama, iaitu apabila pihak musuh telah membajiri bahagian luar kubu yang telah digali oleh pihak Muslimin. Sementara itu, di dalam kota Madinah pula golongan munafiq sedang menjalankan kerja mereka untuk manabur keraguan dan memecah belahkan saf Muslimin. Melihatkan keadaan yang semakin meruncing, Rasulullah SAW telah memanggil Sa`ad bin Mu`adz dan Sa`ad bin `Ubadah lantas bermusyawarah dengan mereka. Rasulullah SAW mengatakan bahawa baginda akan berdamai dengan Qabilah Ghaftan (salah satu daripada qabilah musuh) memberi satu pertiga daripada hasil buah-buahan Madinah kepada mereka agar mereka mengundur diri dari medan pertempuran.
Lalu kedua-dua Saad berkata,“Ya, Rasulullah SAW! Apakah keputusan ini merupakan suatu pendapat tuan hamba untuk kami bertindak atau apakah ini suatu suruhan yang ingin Rasulullah SAW lakukan untuk faedah kami atau satu perintah dari Allah? ” Baginda SAW menjawab,“Malah ini adalah suatu perkara yang ingin aku lakukan untuk kebaikan kamu dan supaya dengannya dapat kuleraikan kekuatan mereka.”
Lantas Sa`ad bin Muadz menjawab,“Demi Allah, sesungguhnya kami tidak berhajatkan ini, demi Allah kita tidak akan memberi kecuali mata pedang sahaja, hingga Allah SWT menghukumkan di antara kita dan mereka.” Muka Rasulullah SAW pun memancarkan cahaya kesenangan dan berkata,“Engkau dan pendapat engkau. ”9
Daripada peristiwa pertama dapatlah kita lihat bagaimana Rasulullah SAW menjalankan syura dengan meminta pendapat para sahabat untuk menghadapi tentera musuh. Seterusnya pendapat Salman Al-Farisi ini diterima dan terus dilaksanakan tanpa adanya tentangan daripada sahabat yang lain. Peristiwa ini juga telah menjadi dalil bahawa umat Islam dibenarkan untuk mengambil sesuatu yang baik daripada orang lain dengan syarat mereka tidak mengikuti pegangan atau kepercayaan asing.10
Peristiwa kedua pula sekali lagi telah menunjukkan bagaimana musyawarah dijalankan untuk mencapai kata putus bagi setiap hal yang tiada dalil yang qat`i (putus).
Antara hikmat diadakan perbincangan itu ialah Rasulullah SAW ingin memastikan sejauh manakah kekuatan serta kesediaan yang dipunyai oleh sahabatnya untuk memerangi tentera Musyrikin yang berjumlah kira-kira 10,000 orang berbanding Muslimin yang berjumlah kira-kira 3000 orang. Sesungguhnya Baginda SAW amat menyayangi kaum Muslimin serta tidak mahu menyeret mereka kepada peperangan jika jiwa mereka masih belum bersedia.11
Sebagai kesimpulan, pelaksanaan syura di dalam sesebuah organisasi terutamanya di dalam gerakan Islam tidak harus dipandang sebagai suatu perkara yang remeh. Dalil-dalil daripada Al-Quran dan sunnah banyak menunjukkan bahawa perlaksanaan syura amatlah dituntut di dalam Islam. Maka, perhatian yang sewajarnya perlulah diberikan oleh peringkat pimpinan mahupun penggerak harakah Islamiyyah agar beroleh keredhaan dan kejayaan di dalam perjuangan, insyaAllah.
Wallahua’lam bissowab
SENARAI RUJUKAN KAJIAN:
Al-Quran dan terjemahannya
Tafsir Ibn Kathir
Perlembagaan PAS
Irsyad, cetakan Hizbi 8
Fakhrurazi Ghazali, Kertas Kerja Kajian Fiqh Syura Menurut Perspektif Syarak, Monograf Andalus Tanta II, Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta, Mesir
Nik Azran Mohamed, Kertas Kerja Wala’ Dan Bara’ Dari Sudut Akidah dan Gerakan, Monograf Andalus Tanta II, Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta, Mesir
Sayyed Abul Hasan `Ali Nadwi, Muhammad The Last Prophet, UK Islamic Academy
Muhammad Sa`id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah 2, Dewan Pustaka Fajar
NOTA HUJUNG:
1Perlembagaan PAS
2Irsyad, Jilid 2, Syura Dan Kepentingannya, ms. 520
3 Fakhrurazi Ghazali, Kertas Kerja Kajian Fiqh Syura Menurut Perspektif Syarak,
Monograf Andalus Tanta II, ms 109
4Ibid, ms 108
5Ibid, ms 105
6Ibid
7Nik Azran Mohamed Kertas Kerja Wala’ Dan Bara’ Dari Sudut Akidah dan Gerakan,
Monograf Andalus Tanta II, ms 51
8Sayyed Abul Hasan `Ali Nadwi, Muhammad The Last Prophet, , ms 100
9Muhammad Sa`id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah 2, ms 455-456
10Ibid, ms 462
11Ibid, ms 468
No comments:
Post a Comment