Rukun 6: AT-THA’AH
KETAATAN
PENGERTIAN
- Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah ketaatan di dalam mematuhi perintah pimpinan dan melaksanakannya sama ada di dalam keadaan susah atau senang, dalam perkara yang disukai dan dibenci. Ketaatan ini dipagari oleh batas-batas perkara yang duduk di bawah ketaatan kepada Allah dan Rasul. – Imam Hassan Al-Banna
- Menghidupkan jentera jamaah dan mengemaskini pergerakan sehingga mencapai hadaf dengan jaya . Ia jua bererti segala lubang musuh untuk memecah kesatuan jamaei tertutup rapat . Segala arahan dan peraturan jamaah dapat direalisasikan sebagai mana yang dirancang . – Ust Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
- Pandangan Al-Maududi pula menjelaskan kaitan antara Taat dan Disiplin dalam pergerakan Islam katanya "......sebuah gerakan, sekalipun mempunyai ciri ciri yang baik, menemui kegagalan hanya disebabkan oleh hakikat bahawa ia tidak dapat menterjemahkan skima-skimanya ke bentuk praktik. Ini berpunca daripada ketiadaan disiplin dan kerjasama. Usah- usaha berdisiplin bermakna bahawa seluruh jemaah mesti mengikut prosedur serta peraturan yang telah ditetapkan olehnya."
1. Seorang Muslim wajib beriltizam dengan arahan dan nizam (sistem) jamaah. Itu adalah perkara asasi dan perlu untuk kebaikan perjalanan amal dan usaha merialisasikan segala tujuan jemaah. Kesetiaan ini dipandang sebagai taat dan ibadah kepada Allah.
2. Setiap anggota jemaah mesti membiasakan dirinya melaksanakan setiap perintah pemimpin atau mas'ulnya dalam jamaah. Dia mesti taat kepada pemimpin di waktu susah, senang, sama ada suka atau tidak, asalkan perkara yang tidak mungkar dan tidak maksiat.
3. Tentera da'wah wajib menjaga waktunya dengan bersungguh sungguh, berdisiplin dalam segenap urusannya dengan peraturan yang rapi, berguna kepada manusia, mampu berusaha, mujahid untuk dirinya, berwaspada dari godaan hartabenda, anak dan isteri. “.....tiap tiap anggota majlis itu mestilah bersungguh sungguh untuk menghadirkan dirinya pada waktu yang telah ditentukan dan tidak boleh lambat datang kecuali kerana tersangat terpaksa. Itupun dengan memberitahu alasan terlebih dahulu.”
DALIL
Firman Allah s.w.t., maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Al-Nisa’: 59)
Di mana ketaatan diulangi dua kali kepada Allah dan Rasul. Adapun kepada pemimpin tidak diulangi perkataan ketaatan. Ini memberi makna yang sangat besar yang perlu difahami oleh umat Islam. Maknanya ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, tidak berbelah bagi kerana Allah SWT itu Tuhan yang suci daripada segala sifat. Tuhan yang Maha Sempurna, Maha Adil, Maha Bijaksana dan tidak boleh dipertikaikan walaupun sedikit sama ada dalam hukum yang halus dan keras mengandungi hikmah yang memberi kebaikan kepada manusia di dunia dan di akhirat . Adapun ketaatan kepada Rasulullah SAW juga secara mutlak kerana Rasulullah SAW adalah manusia dipelihara daripada kesilapan.
Bagaimana pula dengan ketaatan terhadap pemimpin-pemimpin di kalangan kamu? Siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin-pemimpin di kalangan kamu?
Para ulama' memberi dua pendapat :
1. Pertama, pemimpin yang memerintah negara.
2. Kedua, pemimpin yang mengajar agama yang dikenali dengan ulama'.
Sama ada pemimpin-pemimpin kerajaan, masyarakat atau ulama', semuanya manusia yang tidak maksum. Manusia yang mempunyai kelemahan dan tidak dikawal oleh wahyu, maka Allah menyuruh pemimpin ini merujuk masalah mereka kepada hukum yang paling tinggi iaitu Allah dan Rasul. Allah SWT juga menyuruh pemimpin-pemimpin itu supaya bermesyuarat, berbincang dengan mereka yang berada di bawahnya. Dan mereka hendaklah melaksanakan urusan dalam masyarakat berdasarkan kepada dua perkara ini dan pemimpin-pemimpin yang mempunyai kelemahan, ada di antara mereka yang boleh diberi nasihat dan mereka menerima nasihat tersebut dengan hati terbuka.
Sementara itu, ada di antara mereka yang degil, yang tidak mahu mengikuti kebenaran walaupun dinyatakan kebenaran. Mereka menggunakan kedudukan mereka sebagai pemimpin untuk melakukan apa sahaja dengan sewenang-wenangnya. Maka Allah SWT tidak menyuruh kita mentaati dalam perkara maksiat. Begitu juga, Nabi SAW melarang kita mentaati dalam perkara maksiat yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.
HADITH
Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza wa Jalla dan dengar serta taat sekalipun pemimpin yang dilantik dikalangan kamu hanyalah seorang hamba abdi . ( Al Hadis , Matan Al Arbai’n )
SIRAH
Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, ister-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)
REALITI KETAATAN
1. Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya.
2. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat.
3. Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam jamaah.
4. Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera jamaah menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain.
5. Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam jamaah, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.
"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 216.
MASALAH KEMEROSOTAN KETAATAN
1. Kemerosotan Iman. Menjadikan seseorang itu tidak sensitif terhadap perlaksanaan sesuatu tugas itu dengan segera. Salah satu kesan ialah tiada iltizam dengan waktu yang telah ditentukan untuk sesuatu perjumpaan ataupun waktu yang telah ditentukan untuk melaksanakan sesuatu kerja.
2. Kemahuan yang Lemah dan Kurang Azam - Menyebabkan cepat berputus asa, mengalah serta mudah patah semangat.
3. Masalah Peribadi - Penyakit Lupa - Lupa kepada arahan, peraturan, waktu pertemuan serta tugas tugas. Salah satu sebab mempunyai terlampau banyak tugas.
4. Sikap Kurang Tegas Pemimpin.
KEPENTINGAN TAAT
Ketaatan sangat penting dalam sesuatu pergerakan, ini kerana ianya melibatkan kerja-kerja peringkat dakwah yang terbahagi kepada tiga peringkat:-
1. Peringkat ta’arif
Dengan menyebarkan fikrah umum dikalangan orang ramai. Sistem dalam peringkat dakwah ini adalah sistem persatuan yang bersifat pentadbiran. Tugasnya ialah melakukan amal kebajikan umum. Wasilah yang digunakan dalam peringkat ini ialah memberikan kesedaran dan bimbingan, juga dengan mewujudkan institusi-institusi yang berfaedah dan wasilah-wasilah lain yang praktikal.
2. Peringkat takwin
Dengan memilih anasir—anasir yang layak untuk memikul tanggungjawab jihad dan menggabungkan anasir-anasir tersebut. Sistem dakwah dalam peringkat ini ialah sistem sufi tulen dalam sudut rohaniah dan ketenteraan tulen dalam sudut amaliyah. Slogan dalam kedua-dua peringkat ini ialah dengar dan taat tanpa teragak-agak, tanpa soal jawab, syak dan tanpa keluh – kesah . katibah - katibah ikhwan sekarang memainkan peranan dakwah di peringkat ini. Sistem yang mengaturkannya ialah risalah manhaj dahulunya dan risalah ta’alim untuk sekarang.
Dakwah dalam peringkat ini adalah berbentuk khusus , hanya mereka yang membuat persediaan yang mencukupi sahaja mampu melalui tahap ini dan bersungguh-sungguh untuk memikul beban jihad yang berterusan serta beban yang banyak. Hanya mereka ini sahajalah yang layak berhubung dengan jamaah . Petanda – petanda awal bagi persediaan ini adalah ketaatan yang sempurna.
3. Peringkat tanfidz
Dakwah dalam peringkat ini adalah jihad yang tidak kenal tawar menawar, amal yang berterusan untuk mencapai matlamat, cubaan dan bala yang tidak mampu dihadapi oleh mereka melainkan dengan ketaatan yang sempurna. Untuk tujuan inilah saf pertama ikhwan muslimin telah memberikan bai’ah pada 5 Rabiulawal 1359 dan saudara sendiri , dengan kemasukan saudara dalam katibah ini, menerima risalah ini (risalah ta’alim), juga dengan bai’ah yang saudara berikan bererti saudara telah berada di dalam peringkat kedua dan telah hampir kepada peringkat yang ketiga. Oleh itu, saudara mestilah membuat penilaian terhadap tanggungjawab yang saudara pegang dan sediakanlah diri saudara untuk menunaikannya.
BATASAN KETAAAN
Dari Ibn `Umar r.a.: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadith di atas dengan jelas mewajibkan setiap muslim mentaati para pemerintah dalam apa jua perkara, selagi tidak berbentuk maksiat kepada Allah. Bahkan di dalam hadith di atas baginda Nabi s.a.w. menegaskan bahawa ketaatan kepada para pemerintah merangkumi perkara yang disukai atau dibenci selagi ianya tidak bersifat maksiat kepada Allah. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam mensyarahkan hadith berkenaan: "Maksudnya (hadith di atas) wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak disukai oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat."
Firman Allah S.W.T :
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Al-Maidah ayat 2)
Bahkan jika bertembung pandangan atau ijtihad pemerintah dengan pandangan atau ijtihad mereka yang dibawahnya maka wajib dilaksanakan keputusan yang dikeluarkan oleh pemerintah selagi mana perkara tersebut bukan berbentuk maksiat kepada Allah sekalipun jiwa kita tidak suka kepada ijtihad berkenaan.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendapati pemimpinnya melakukan perkara yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bersabar sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jemaah satu jengkal, maka matinya adalah dikira mati dalam keadaan jahiliah - Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Diriwayatkan daripada Saidina Ali k.w katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah mengutus satu pasukan tentera dan baginda telah melantik seorang lelaki sebagai pemimpin tentera itu. Lelaki tersebut telah menghidupkan api dan berkata: “Kamu semua masuk ke dalam api itu.” Maka sebahagian dari tentera ingin memasuki ke dalam api tersebut dan sebahagian dari tentera yang lain berkata: “Kami telah melarikan diri daripadanya.” Perkara itu dilaporkan kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda kepada orang-orang yang ingin memasuki api tersebut: “Sekiranya kamu memasukinya nescaya kamu akan terus berada di dalamnya sehingga Hari Kiamat” dan Nabi berkata kepada pihak satu lagi dengan kata-kata yang baik serta bersabda: “Jangan mentaati perintah untuk melakukan maksiat kepada Allah tetapi taatilah dalam perkara kebaikan”. - Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Hendaklah diketahui bahawa ketaatan kepada para pemerintah yang tidak melanggar prinsip-prinsip utama Islam atau dalam kata lain tidak berlaku pada sistem atau diri pemerintah kufr bawwah adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat. Ini sama ada kepada mereka yang pernah berjanji untuk taat atau tidak pernah berjanji. Sebaik sahaja naiknya sesuatu pemerintahan Islam dengan cara yang diterima di sisi syarak maka secara langsung tanggunjawab ketaatan terpikul di atas setiap individu rakyat. Tanpa mengira sama ada sebelum kenaikan pemerintah berkenaan dia berada di pihak penyokong ataupun penentang.
Sabda Nabi s.a.w. :
"Sesiapa yang mentaati pemimpin maka sesungguhnya dia telah mentaatiku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin sesungguhnya menderhakaiku" Riwayat Muslim
Kualiti dan Kuantiti
Adalah menjadi kebiasaan Harakah Islamiyah mempelbagaikan cara dalam usaha meningkatkan mutu saff jama'ah dan memperbanyakkan ahli-ahlinya dengan cara-cara yang dibenarkan oleh Islam. Namun demikian kerja-kerja menghimpun atau memperbanyakkan ahli-ahli ini janganlah sampai ia menghimpun apa saja jenis manusia yang ditemui, kerana kualiti (mutu) itu lebih penting dari bilangan. Jama'ah selalunya berusaha berdakwah dengan bersungguh-sungguh mengorbankan tenaga dan waktu untuk mendapat seorang anggota baru dengan harapan anggota baru ini dapat memikul sebahagian dari tanggungjawab dan tugas jama'ah. Tetapi sekiranya diambil anggota secara sembarangan tentulah harakah tidak mampu menanggung beban dari anggota-anggota sedemikian sepanjang umur mereka. Jika ini terjadi rugilah tenaga yang dicurahkan dan sia-sialah usaha.
Seorang manusia adakalanya menjadi satu umat tetapi ada kalanya ia menjadi bebanan yang merosakkan orang lain malah tidak berguna sama-sekali. Orang seperti ini adalah lebih baik tidak diambil kira. Dalam hal seperti ini banyak pengajaran yang dapat dijadikan I'tibar. Allah menceritakan:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (Surah Al-Taubah 9: Ayat 25)
Sebenarnya bilangan yang banyak bukanlah menjadi perhitungan yang utama, tetapi yang utama ialah anggota yang benar-benar mengenal Allah, teguh pendirian dan benar-benar memperjuangkan kebenaran. Bilangan yang banyak ada kalanya menjadi sebab membawa kepada kekalahan kerana sebahagian yang ikut serta itu terdiri dari mereka yang tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Apabila menghadapi saat-saat genting dan getir, pendirian mereka ini akan mudah goncang dan goyah. Dengan sifat demikian mereka ini menyebabkan kelemahan jiwa para anggota dan ketewasan di dalam medan jihad. Ingatlah, bukan tujuan kita untuk melahirkan buih-buih perjuangan, tetapi matlamat kita adalah untuk melahirkan jundullah yang sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan agama Allah.
Oleh yang demikian membuat penilaian dan pembahagian terhadap anggota-anggota merupakan satu amalan yang membawa kebaikan kerana dengan cara itu jama'ah dapat menilai dan mengetahui sejauh mana kemampuan dan kemanusiaan para anggota sebelum sesuatu tugas itu dimulakan. Pembahagian yang dilakukan tidaklah bermakna harakah membiarkan sebahagian anggota yang lain, malah terhadap mereka juga harakah mestilah mengambil perhatian berat dengan cara memberi kesedaran dan tarbiah sehingga mereka juga akan menjadi individu-individu yang setia kepada jama'ah.
Firman Allah SWT :
“Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".
HUKUMAN BAGI YANG INGKAR
Antara tindakan yang perlu dilakukan oleh jamaah bagi mereka yang mempermainkan konsep ketaatan ini adalah dengan mengenakan hukuman dan tindakan kepada anggota yang mengingkari akan ketaatan ini disamping melaksanakan sistem al-mu’aqabah.
Diriwayatkan oleh Abdul Quwaisy bahwa ada seorang prajurit yang dikala pasukan lainnya bersiap dalam dalam barisan untuk menyongsong pasukan musuh tetapi ia tetap ditempatnya semula dan berkata pada dirinya sendiri : “Engkau pernah mengalami ini (saat musuh datang) engkau teringat anak dan isterimu dan kemuadian engkau kembali” berulang-ulang ia katakana itu dengan penuh penyesalan. “Sekarang aku tawarkan pada dirimu kepada Allah” setelah itu ia maju ke medan tempur. Ia maju di baris terdepan pertempuran meski musuh mendesak pasukannya ia tetap bertempur dan tidak beranjak mundur sampai akhirnya ia roboh. Kemudian aku hitung tusukan yang mengenai dirinya, aku temukan enam puluh tusukan lebih tusukan.
Umar bin Khattab menshadaqahkan tanah miliknya senilai 200.000 dirham oleh karena ia terlambat shalat berjama’ah. Pernah satu kali ia terlambat shalat maghrib maka ia menghukum dirinya dengan memerdekakan dua orang budak
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.” (surah Al-Baqarah ayat 286.)
TIDAK TERCAPAI KHALIFAH ISLAMIAH TANPA JAMAAH, TIDAK HIDUP JAMAAH TANPA AHLI, TIDAK BERGERAK SESUATU JAMAAH TANPA PEMIMPIN, TIDAK BERGUNA PEMIMPIN KALAU TIDAK DITAATI
NOTE : SEKITAR PERMASALAHAN KETAATAN DALAM JAMAAH
PEMIMPIN BUAT MAKSIAT – pemimpin berkenaan tidak patut dilantik dalam keadaan yang sepatutnya. Jamaah dikehendaki menegurnya terlebih dahulu sebelum menunggu tempoh menukar kepimpinan. Sekiranya perlu, maka Mesyuarat Agung Tergempar akan dilaksanakan.
MASALAH AKHLAK PEMIMPN – Jamaah perlu melihat adakah manfaat lebih banyak daripada mudharat kerana itu adalah masalah peribadinya sedangkan dia masih melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. PS di Malaysia bekerjasama dengan Jamaah lain kerana PS memilih jalan lebih penting dengan meminimumkan mudharatnya.
** Pendapat di atas adalah daripada Ustaz Amin.
Rujukan :
Al-Quran & Terjemahan
Software Holy-Quran Al-Sakh
Software Al-Bayan
Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Disiplin Dan Ketaatan, Al-Maududi
Panduan Risalah Ta’alim
Tazkirah Tafsir Tuan Guru Haji Hadi Haji Awang
Batasan Ketaatan, Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
Web Site Ust Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
Web Site Pemuda PAS Pusat
Panduan Usrah UiTM
Rukun 7: AS-THABAT
TETAP PENDIRIAN / ISTIQAMAH
PENGERTIAN
- Tsabat yang dikehendaki di sini adalah mestilah sentiasa beramal dan berjihad untuk mencapai matlamat sekalipun matlamat tersebut masih terlalu jauh dan memakan masa bertahun-tahun sehinggalah kita menemui Allah dalam keadaan beramal dan berjihad. Dengan itu al-akh telah mendapat salah satu dari dua kebaikan, sama ada berjaya mencapai matlamat atau mati syahid pada akhir hayat. – Imam Hassan Al-Banna
- memanjangkan hayat perjuangan sehingga tahkik ghayah (matlamat) dapat dicapai, sekalipun perjuangan itu berlansung dalam lingkaran mustakbirin yang senantiasa menanti peluang untuk menghancurkan gerakan Islam dengan usaha mereka yang bertubi–tubi . – Ust Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Surah Al Ahzaab . Ayat : 23)
ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN
Makna Istiqamah
Merupakan satu pegangan yang tetap, kemas dan tidak berdolak-dalik. la juga merupakan satu sama berterusan serta ikhlas dalam mengamalkan suruhan Allah Ta'ala dan meninggalkan larangan-Nya dengan memperjuangkan kebenaran sahaja.
Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain dan hanyut bersama arus jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan.
Anjuran Syara'
Firman Allah Ta'ala :
Tetap luruslah engkau sebagaimana diperingatkan kepada kamu dan janganlah engkau turut hawa nafsu mereka. dan katakanlah: aku beriman dengan kitab yang diturunkan Allah dan aku disuruh berlaku adil di antara kamu. Allah tuhan kami dan kamu....'
(As-Syura: 15)
Firman Allah Ta'ala:
'Sesungguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka berlaku lurus, maka tiadalah mereka takut dan tiada pula berdukacita. Mereka ialah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya, sebagai balasan dan apa yang telah mereka amalkan.' (AI-Ahqaaf: 13-14)
Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya maksudnya:
“Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orangyang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).” (Yunus: 89)
Firman Allah s.w.t. kepada nabi kita Muhammad s.a.w., maksudnya:
“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 112 – 113)
Anjuran Sunnah
Sabda Rasulullah SAW:
Abu Amru (Sufyan) bin Abdullah r.a berkata:
'Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku kalimah yang menyimpulkan pengertian Islam, sehingga aku tidak perlu bertanya kepada seorang pun selain engkau. Jawab Nabi s.a.w : Katakanlah, Aku percaya kepada Allah. kemudian tetap lurus mendisiplinkan diri terhadap pengakuan.' (Riwayat Muslim)
Dalam peristiwa yang lain pula dinyatakan, apabila sufyan bin Abdullah berkata kepada Rasulullah s.a.w., maksudnya:
Daripada Sufyan bin ‘Abdullah al-Thaqafi katanya: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan kata-kata yang jelas sehingga aku tidak perlu lagi beranyakan mengenainya kepada seseorang yang lain daripadamu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.” (Riwayat Ahmad)
Para rasul dan para sahabat adalah orang-orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah itu sangat penting dan mestilah berterusan kerana ia menjadi tunggak dan cara untuk mendapatkan pertolongan Allah s.w.t., bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya menjadi sia-sia.
Penghayatan Istiqamah
Para pencinta dan pendokong harakah Islamiyyah seharusnya menyedari bahawa mereka membawa satu amanah yang sangat besar dan cita-cita yang sangat mulia. Oleh itu, mereka di tuntut membuat persediaan yang secukupnya di bawah pimpinan dan pengawasan orang-orang yang benar-benar memahami Islam dan tasawwur Harakah Islamiyyah serta melaksanakan berdasarkan Manhaj Tarbiyah Harakiyyah.
Atas landasan itulah maka perjuangan benar-benar menuntut kepada ISTIQAMAH lantaran ianya tidak menjanjikan natijah yang baik mahupun hamparan kesenangan malah menguji ketabahan dan keimanan menghadapi setiap cabaran yang sentiasa mendatang.
Tidak dapat tidak, tuntutan Istiqamah adalah sebagai satu wasilah mengelakkan gejala keguguran yang pastinya mengakibatkan fitnah dalam jamaah Islam itu sendiri, sekalipun dari satu sudut yang lain ia merupakan satu tabi'e yang mampu mematangkan saf dan membersihkan jamaah dari aliran-aliran fikrah dan anasir-anasir lain yang menghalang kelancaran organisasi dan dakwah.
Cabaran Istiqamah
Cabaran kepada istiqamah adalah merupakan faktor-faktor yang membawa seseorang ahli itu futur (keciciran) dalam perjuangan Islam. Antara lain, faktor-faktor yang menyebabkan pejuang Islam tercicir di jalan dakwah adalah dikategorikan sebagai berikut:
Pertama : Sebab-sebab yang berhubung dengan gerakan
Kedua : Sebab-sebab yang berkaitan dengan individu
Ketiga : Sebab-sebab luar yang menekan
SEBAB-SEBAB YANG BERHUBUNG DENGAN GERAKAN
1. Kelemahan sudut tarbiyah
2. Tidak meletakkan seseorang di tempat yang sesuai 3. Tidak membahagi-bahagikan kerja kepada anggota
4. Tidak mengambil berat ahli
5. Tidak menyelesaikan persoalan dengan segera
6. Pertikaian dalaman
7. Pimpinan yang tidak layak
SEBAB-SEBAB YANG BERKAITAN DENGAN INDIVIDU
1. Tabi'e yang tidak tetap
2. Takut berlaku sesuatu ke atas diri dan kerjaya
3. Melampau
4. Bermudahan-mudahan
5. Tertipu dengan kedudukan dan bersikap menonjol diri
6. Cemburukan orang lain
7. Fitnah senjataSEBAB-SEBAB LUARAN YANG MENEKAN
1. Tekanan ujian
2. Tekanan keluarga
3. Tekanan persekitaran
4. Tekanan gerakan-gerakan bahaya
5. Tekanan bermuka-muka
Kaedah Mengekalkan Istiqamah
1. Melatih diri untuk mengikhlaskan setiap amalan. Menjauhkan diri daripada kehendak kebendaan.
2. Melakukan sesuatu berdasarkan minat/tanggung jawab, bukan modal peribadi.
3. Memohon bantuan Allah (berdoa) dan meningkatkan hubungan fardiyyah denganNya.
4. Melaksanakan kewajipan agama dengan secara hikmah - berdasarkan kepada kekuatan iman peribadi.
5. Mewujudkan jaringan komunikasi - maklumat ahli - untuk meneruskan perjuangan.
Realiti Istiqamah
1. Kita hendaklah meletakkan diri kita dalam perjuangan seolah-olah kira berada di medan peperangan bersama Rasulullah SAW.
2. Pengalaman sahabat dan generasi awal memelihara aqidah keimanan. Contoh : kisah Ashabul Ukhdud, Bilal bin Rabah. Mus'ab bin Umair, Khubaib al-Aradh dan lain-lain.
3. Istiqamah berasaskan iman dan ilmu syariat, bukannya semangat emosi dan ikut-ikutan.
4. Adanya istiqamah menjamin kepada kelangsungan perjuangan dan dapat membendung keciciran/ keguguran serta mudah hanyut dibawa bawa arus.
5. Kehidupan mahasiswa - giat di kampus tetapi menyepi di medan masyarakat.
6. Pergerakan Jamah sepatutnya bergerak kehadapan dengan mencipta, merangka dan melahirkan. Bukan hanya sekadar mencipta dan merangka sahaja.
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Ali-Imran 139)
Rujukan :
Al-Quran & Terjemahan
Software Holy-Quran Al-Sakh
Panduan Risalah Ta’alim
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Web Site Ust Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
Web Site Pemuda PAS Pusat
Panduan Usrah UiTM
Perbentangan Kertas Kerja Tamrin Qiadi UiTM
Perbentangan Kertas Kerja PAZ Manhal PMRAM
Friday, July 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment